Thursday, September 1, 2011

Rambut Aku Ditarik Ke Atas Di Tengah Padang Malam Hari

Kejadian aneh ni berlaku pada tahun 1998 jika tidak silap bulan September. Waktu itu merupakan cuti semester UNITAR dan aku balik ke kampung untuk menghabiskan cuti bersama keluarga di Miri Sarawak. Tempat tinggal aku pada masa itu adalah di sebuah kompleks penguatkuasa di Jalan Pujut. Orang-orang lama di kediaman itu selalu mengatakan ada sebuah padang berhampiran dilabel sebagai ‘keras’. Aku tahu dan aku akui padang itu memang keras tetapi hanya buat endah tak endah.

Tepat jam 1000 malam. Aku berhasrat hendak ke sebuah pasaraya yang berhampiran di kediamanku. Pasaraya tersebut dahulu dikenali sebagai ‘SurveyJaya’ yang mana jaraknya lebih kurang 2 kilometer dari rumah. Aku bertekad hendak ke pasaraya itu juga kerana perlu membeli sesuatu barang yang ingin aku jadikan kudapan di tengah malam. Laluan ke pasaraya itu perlu menempuh padang berkenaan yang dikatakan keras. Padang itu dikelilingi oleh pokok-pokok yang besar dan berlantaikan batu-batu kelikir halus.

Aku berjalan kaki  menerusi padang itu dan beranggapan tiada apa-apa yang akan terjadi. Pada mulanya ada terasa bulu roma naik seketika ketika masuk di perkarangan padang. Namun ianya hilang dan disusuli dengan tiupan angin yang sejuk. Padang itu hanyalah sebesar 100 meter persegi dan perjalananku menerusinya hanyalah mengambil masa lebih kurang 3 minit.

Aku selamat menerusi padang itu dan terus menuju ke pasaraya dengan satu lagi laluan yang agak seram iaitu laluan belakang kediaman bersebelahan dewan serbaguna yang agak usang. Namun aku teruskan perjalanan ke pasaraya.

Barang sudah dibeli dan kini aku perlu menempuh kembali padang tadi. Kali ini lain pula yang berlaku. Belum sempat sampai ke padang itu bulu roma meremang dan angin meniup dengan perlahan. Terasa amat sejuk dingin badan aku. Aku pun teruskan perjalanan dan menghampiri laluan padang. Setibanya masuk ke padang itu pemikiran aku terus menjadi kusut. Aku lihat amat jauh jarak dari hujung padang ke hujung padang dengan pancaran bulan yang samar-samar. Aku menjerit ‘Tolong Jangan Kacau Aku’. Lega setelah menjerit tiada apa-apa yang berlaku. Namun apa yang pelik dari tadi perjalananku tidak sampai-sampai ke penghujung padang. Aku bernekad mempercepatkan langkah. 

Dalam mempercepatkan langkah itu aku dapat rasakan dengan jelas dan yakin rambut aku ditarik ke atas. Aku dapat rasakan bahawa aku terangkat sedikit dari bumi. Pada masa ini aku tak ingat apa-apa selepas rambut ditarik. Apa yang aku ingat aku sudah berada di tangga rumah.

Setibanya di rumah aku memikir sejenak apa yang berlaku tadi. Kesan kusut rambut masih ada (masa tu rambut panjang). Puas aku memikir adakah yang menarik aku tadi makhluk halus? Namun aku biarkan sahaja.

Kisah ini tidak abis di sini saja… Jam 1220 tengah malam sejurus insiden tadi aku terasa ingin membuang air kecil di tandas, jadi aku masuk la ke tandas seperti biasa dan mengunci dari dalam. Sekali lagi aku terkejut pintu tandas terbuka dan aku dapat lihat dengan kepala mata aku sendiri satu lembaga berfizikal seperti manusia tetapi tiada muka…tiada wajah… kepalanya hanya lah kosong (macam sebiji telur)… Berdiri di hadapan pintu tandas. Bayangkan anda melihat makhluk yang tiada muka…. 

Aku terus memanggil kakak aku dan bertanya siapa yang berdiri di depan pintu tandas yang kebetulan masih menonton TV pada masa itu. Kakak aku tidak bercakap apa-apa dan terus senyap. Aku pun merasa sangat aneh dan terus ke bilik untuk tidur.

Keesokkan harinya aku demam 7 hari dengan muntah yang berterusan dan aku masih ingat lagi badan aku menjadi kurus kering. Ayah aku membawa aku ke klinik dan mengesahkan aku hanya demam biasa. Sejurus sembuh aku tidak lagi melalui padang ‘keras’ yang masih ada di kediamanku.

No comments:

Post a Comment